SEORANG lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi khas yang dijalankan polis di kawasan Kabong, Saratok, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 pagi hasil maklumat awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan 12 keratan straw mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 2.34 gram.
“Susulan penemuan itu, suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok bagi tindakan lanjut termasuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.
Menurut beliau, polis akan terus mempergiat operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah itu dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah.






