POLIS mengesahkan video memaparkan pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Pekan Tuaran yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu bukan kejadian baharu, sebaliknya insiden lama yang berlaku pada Februari lalu dan sudah diselesaikan.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, video berkenaan mula kembali tular pada 27 Jun lalu sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati perselisihan yang berlaku berpunca daripada salah faham antara kedua-dua pihak yang turut dipengaruhi pengambilan alkohol serta beberapa isu lama.
“Insiden itu hanya membabitkan pertengkaran mulut dan tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata atau menyebabkan kecederaan.
“Polis juga telah mengambil tindakan dengan menahan beberapa individu yang terbabit selain memanggil kedua-dua pihak untuk diberikan amaran serta nasihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan tindakan itu, pertikaian antara kedua-dua kumpulan berjaya diselesaikan secara baik dan keadaan kembali terkawal.
Dalam perkembangan sama, Noraidin berkata, individu yang dipercayai memuat naik semula video berkenaan turut dipanggil bagi membantu siasatan selepas tindakannya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula kandungan di media sosial tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Gunakan media sosial secara bertanggungjawab dan semak kesahihan maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam,” katanya.






