KERAJAAN mengambil pendekatan baharu dalam usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian apabila buat pertama kalinya sektor perbankan, telekomunikasi dan platform media sosial digabungkan dalam satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan hasil pemukiman berkaitan isu scam.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri susulan keperluan memperkukuh tindakan rentas agensi terhadap ancaman jenayah dalam talian yang semakin kompleks.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa kerja bersama kumpulan teknikal bagi menangani jenayah penipuan dalam talian sudah ditubuhkan pada 18 Jun lalu, manakala mesyuarat pertama dijadual berlangsung dalam tempoh terdekat.
“Ini kali pertama satu jawatankuasa kerja seumpama ini diwujudkan yang merentas kementerian, agensi dan jabatan, malah melibatkan sektor perbankan, telekomunikasi serta platform utama yang menjadi lokasi berlakunya jenayah penipuan dalam talian.
“Ini juga bermaksud platform media sosial turut dilibatkan dalam usaha menangani isu ini,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan mengenal pasti cabaran yang dihadapi selain memperkemas tindakan dari sudut penguatkuasaan, perundangan dan siasatan supaya pengguna lebih selamat ketika menggunakan platform digital.
Mengulas perkembangan selepas penubuhan jawatankuasa itu, Fahmi berkata, beberapa tindakan sedang dirancang namun tidak boleh didedahkan secara terbuka kerana melibatkan aspek strategik.
“Kita jangkakan dalam masa tidak terlalu lama beberapa perkara dapat diuruskan, tetapi saya tidak boleh bercakap terlalu terbuka kerana yang sedang menonton mungkin juga dalam kalangan scammer.
“Ada beberapa perkara yang perlu dibataskan bagi mengelakkan aspek strategik dikenal pasti lebih awal,” katanya.
Fahmi berkata, pendekatan merentas agensi itu sebelum ini pernah digunakan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan terbukti berkesan melalui beberapa operasi khas.
“Jadi kita jangka dengan adanya jawatankuasa kerja ini, tindakan yang lebih tegas, lebih pantas dan lebih tuntas dapat diambil terhadap scammer,” katanya.





