Pegawai Daerah keluarkan notis merah arah kosongkan Balai Undang Luak Rembau

SATU notis pengosongan premis bertarikh hari ini dikeluarkan Pegawai Daerah Rembau yang mengarahkan Balai Undang Luak Rembau di Rembau dikosongkan dalam tempoh 24 jam.

Notis merah berkenaan yang ditampal pada pagar premis dipercayai turut menyatakan penghuni balai berkenaan menduduki premis kerajaan tanpa kebenaran.

BALAI Undang Luak Rembau

Difahamkan, notis berkenaan ditujukan kepada Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin susulan Hassan Ab Hamid dizahirkan kejadian sebagai Dato’ Sedia Raja Undang Luak Rembau ke-22, di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah pada 27 Jun lalu.

“Bahawasanya tuan/puan telah mendiami/ menduduki premis kerajaan tanpa kebenaran. Dengan itu, tuan/puan dikehendaki supaya mengosongkan premis YTM Undang Luak Rembau dalam tempoh 24 jam dari pengeluaran notis ini,” kata surat itu.

Sementara itu, peguam kepada Abdul Rahim, Emirul Sarifudin Nor Azmi berkata, arahan pengosongan itu tidak sah dan bertentangan adat serta undang-undang.

“Balai ini adalah pusat pentadbiran adat Luak Rembau yang menempatkan Pejabat Undang Luak Rembau dan juga pejabat YM Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau.

“Tindakan mengarahkan pengosongan dalam tempoh 24 jam ini seolah-olah cubaan untuk menafikan hak serta prerogatif Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau yang sah dan berkuat kuasa,” katanya hari ini.

Tambahnya, notis itu juga tidak langsung menyatakan peruntukan undang-undang mana yang digunapakai Pegawai Daerah untuk mengarahkan pengosongan, maka ia bukanlah satu Notis Statutori.

“Malah, Abdul Rahim melalui surat bertarikh 30 Jun lalu mempersoalkan arahan pengosongan balai serta-merta dan meminta pihak Pegawai Daerah Rembau untuk mengemukakan tiga perkara.

“Iaitu perintah atau arahan penurunan Abdul Rahim sebagai Undang Luak Rembau, keabsahan Hassan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22; dan peruntukan, atau perintah yang membolehkan pihak Pegawai Daerah Rembau mengarahkan pengosongan itu,” katanya.

Namun jelasnya, sehingga tarikh hari ini pihak Pegawai Daerah Rembau masih gagal mengemukakan dokumen berkenaan.

“Tindakan kerajaan juga tidak boleh melangkaui batas kuasa kerana hak dan prerogatif adat Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau dalam Luak Rembau adalah dilindungi di bawah perkara 32 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959,” katanya.

Katanya, pihak Pegawai Daerah Rembau dan kerajaan negeri juga perlu bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak menggunakan pendekatan paksaan.

“Sebarang permohonan mendapatkan Writ Milikan premis boleh dibuat melalui mahkamah tanpa perlu membabitkan kekecohan dalam situasi krisis adat di Negeri Sembilan yang kini semakin meruncing,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img