Anwar tekad noktah isu bekalan air, klinik uzur di Rengit

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini berjanji untuk menyelesaikan isu infrastruktur dan kemudahan asas Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi peluang untuk mentadbir Johor.

Perdana Menteri berkata, antara isu itu termasuk masalah ketiadaan bekalan air dan klinik kesihatan yang uzur.

Berucap di hadapan komuniti Orang Asli dan penduduk Rengit, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyuarakan kemusykilan mengenai ketiadaan bekalan air kepada penduduk susulan Johor dikenali sebagai sebuah negeri yang kaya.

“Tak ada air? Ish… Johor negeri kaya, air tak ada ke? Eh malu aku betul. Negeri Johor tak cukup air? Aduh,” katanya ketika berucap semasa Ceramah PMX DUN Rengit di Dewan Kampung Bumiputera Dalam, Rengit malam ini, lapor Harian Metro.

Yang turut hadir, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Terdahulu, Anwar bertanyakan kepada orang ramai yang hadir mengenai apakah isu yang belum selesai di kawasan itu.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana untuk mengubati pesakit sekiranya klinik kesihatan yang sedia ada juga dalam keadaan uzur.

“Klinik uzur? Macam mana nak berubat orang? Kita ingat klinik itu nak ubat orang uzur, ini klinik yang uzur,” katanya.

Menurutnya, bagi menyelesaikan isu kemudahan asas dan infrastruktur seperti itu, maka perubahan perlu dilakukan iaitu dengan menyokong PH.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan beliau mahu berjumpa dengan pihak yang mengugut tok batin dan ketua masyarakat yang menghadiri programnya malam ini.

Anwar turut mempersoalkan tindakan sedemikian sedangkan pemimpin masyarakat itu hanya mahu berjumpa dengannya.

“Saya nak beritahu tok batin yang ada, ketua masyarakat… ingat. Takkanlah nak hadir perjumpaan Perdana Menteri pun ada yang takut, ada yang kena ugut.

“Saya nak tahu siapa yang ugut? Saya nak panggil dia, nak bagi tahu mengapa ugut orang daripada berjumpa?” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img