SEORANG lelaki maut manakala seorang wanita dan anaknya yang berusia tujuh tahun parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung di Kilometer 11 Jalan Jelai-Pasir Besar di Tampin petang ini.
Dalam kejadian kira-kira-kira jam 4.30 petang itu, wanita berusia 43 tahun memandu Perodua Axia dan keretanya turut dinaiki anak lelaki, manakala mangsa lelaki yang maut memandu Proton Wira.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dipandu lelaki berusia 38 tahun hilang kawalan ketika melalui selekoh dan memasuki laluan bertentangan serta melanggar hadapan Perodua Axia dinaiki dua beranak itu.
“Ketika itu Perodua Axia dari arah Kampung Ulu Ladang menghala F&N Jelai,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, pemandu Proton Wira cedera parah di dada selain mengalami kecederaan lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu wanita dan anaknya yang menaiki Perodua Axia dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan,” katanya yang memaklumkan mayat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
Amiruddien meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 06-441 2502 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






