Gangguan elektrik perangkap dua wanita dalam lif

GANGGUAN bekalan elektrik menyebabkan dua wanita terperangkap di dalam lif di Wisma Persekutuan, Batu 7, Sandakan, selama kira-kira 35 minit sebelum berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kedua-dua mangsa dipercayai sedang menggunakan lif untuk ke tingkat enam bangunan berkenaan sebelum sistem lif gagal berfungsi akibat gangguan bekalan elektrik.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Ketika anggota tiba, bekalan elektrik sudah kembali pulih, namun pintu lif masih gagal dibuka menyebabkan kedua-dua mangsa terus terperangkap di dalamnya.

“Menurut seorang daripada mangsa, mereka berada di dalam lif selama kira-kira 35 minit sebelum berjaya dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, anggota penyelamat menggunakan peralatan pemotong bagi membuka pintu lif yang tersekat sebelum berjaya mengeluarkan kedua-dua wanita itu pada jam 8.04 pagi.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan, anggota sentiasa berkomunikasi dengan mangsa bagi menenangkan keadaan dan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat sementara kerja-kerja menyelamat dilakukan.

“Operasi berjaya diselesaikan tanpa sebarang kecederaan dan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan baik selepas dikeluarkan dari lif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya berdepan situasi sama, sebaliknya kekal bertenang serta segera menghubungi pihak pengurusan bangunan atau talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img