TAKUT dimarahi keluarga selepas terlepas pengangkutan pulang, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis mendakwa dirinya hampir diculik di kawasan lorong perumahan Jalan Taman Pelangi, Semenyih, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pelajar terbabit pada jam 4.36 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati dakwaan pelajar itu tidak selari dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan.
“Siasatan mendapati terdapat rakaman CCTV yang merakam kejadian dan mendapati ia berlainan seperti laporan yang dibuat.
“Laporan itu dibuat kerana pengadu takut dimarahi keluarga selepas terlepas pengangkutan untuk pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, satu laporan polis turut dibuat terhadap pelajar berkenaan kerana disyaki memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Naazron berkata, Polis Daerah Kajang mengambil serius laporan sedemikian yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar, tepat dan lengkap ketika membuat laporan polis.
“Sebarang laporan palsu atau mengandungi fakta yang mengelirukan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkuat kuasa,” katanya.






