Bapa empat anak curi tujuh pek Nescafe dihukum penjara, denda RM2,000

SEORANG peniaga pasar malam dihukum penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tujuh bungkus Nescafe di sebuah kedai serbaneka di Cheng, awal bulan ini.

Tertuduh, Nazarudin Ahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri tujuh bungkus kopi jenama Nescafe bernilai RM105.70 di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Cheng Indah dalam daerah Melaka Tengah pada jam 8.21 malam, 7 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Mengikut fakta kes, pihak kedai mendapati kehilangan tujuh peket kopi yang dipamerkan di rak sebelum semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh memasukkan barangan tersebut ke dalam seluarnya dan menutupnya menggunakan baju sebelum keluar dari premis tanpa membuat pembayaran di kaunter.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Menurutnya, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak bekerja menjual ayam goreng di pasar malam di Jasin dengan pendapatan tidak tetap serta mencuri kopi berkenaan kerana kesempitan kewangan bagi menampung keperluan keluarga.

Beliau berkata, tertuduh menginsafi perbuatan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya S Thivia memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran dan pencegahan memandangkan kesalahan itu dilakukan bukan atas keperluan mendesak, sebaliknya melibatkan kehendak bagi kegunaan rumah.

Beliau turut menegaskan Seksyen 380 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mandatori penjara dan denda serta berharap hukuman yang dijatuhkan dapat menjadi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah contoh yang baik kepada anak-anaknya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tersebut dan penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img