Ejen haram PLKS palsu tumpas, JIM tahan lapan warga Myanmar

SINDIKET menawarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dipercayai diperoleh secara tidak sah serta membekalkan pekerja asing kepada majikan terbongkar apabila lapan warga Myanmar ditahan dalam Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bandar Mahkota Cheras, Selangor, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 3.50 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurutnya, operasi itu susulan tindakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Crack pada 28 Julai lalu.

“Hasil serbuan di sebuah premis kediaman, pasukan operasi menahan seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai ejen haram.

“Siasatan awal mendapati wanita itu mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai dalang utama sindiket dan telah ditahan SPRM dalam Op Crack bersama JIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan enam wanita warga Myanmar yang dipercayai sedang menunggu untuk dibekalkan kepada majikan.

Katanya, semua yang ditahan berusia antara 29 hingga 56 tahun.

“Semakan mendapati wanita yang disyaki ejen haram itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor perkhidmatan, manakala empat wanita didapati tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Seorang lelaki dan dua wanita pula tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Zakaria berkata, pasukan operasi turut menyita 16 pasport Myanmar, salinan PLKS yang dipercayai palsu, dokumen berkaitan pembekalan pekerja serta sebuah kereta Toyota Yaris yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Menurutnya, sindiket dipercayai menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS yang dikeluarkan secara tidak sah melalui sistem pengurusan pekerja asing JIM yang telah diceroboh.

Katanya, sindiket menyasarkan warga asing di Lembah Klang yang tidak mempunyai pas sah atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan sebelum membekalkan mereka kepada majikan dengan mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun,” katanya.

Beliau berkata, wanita yang dipercayai bertindak sebagai ejen haram disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Katanya, empat wanita lagi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki dan dua wanita disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“JIM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img