Pemandu wanita cedera, SUV rempuh pintu masuk balai pelepasan KKIA

SEORANG wanita cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pintu masuk balai pelepasan di Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, rempuhan berkenaan menyebabkan cermin pintu masuk balai pelepasan berkecai, manakala serpihan kaca bertaburan di laluan penumpang sehingga mencetuskan panik dalam kalangan orang awam.

Difahamkan, pemandu wanita terbabit dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaannya merempuh pintu masuk terminal.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada pengunjung atau pekerja lapangan terbang.

Pemandu SUV berkenaan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sebuah SUV berwarna putih mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan selepas merempuh struktur pintu masuk terminal, selain serpihan kaca bertaburan di kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img