Sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak Mei lalu tumpas selepas polis menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di sebuah pangsapuri di Masai dan Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru, pada 5 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama di sebuah pangsapuri yang disewakan membawa kepada penahanan lelaki berusia 30 tahun serta rampasan dadah seberat 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta.
Menurutnya, serbuan kedua di Taman Ehsan Jaya pula membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun, namun polis tidak menemukan sebarang dadah.
“Polis merampas pil Erimin 5 dengan anggaran berat 41.74 kilogram (kg) bernilai RM4.174 juta, 53,000 biji pil ekstasi seberat 23.11kg bernilai RM3.47 juta, 290 paket plastik disyaki serbuk ekstasi bernilai RM87,000, 13 paket plastik disyaki ketamin bernilai RM590,000 dan dua paket berisi serbuk MDMA bernilai RM178,500.
“Polis turut menyita empat buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM100,000 yang menyaksikan nilai rampasan dan sitaan keseluruhan berjumlah RM9.44 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini, lapor Sinar Harian.
Ab. Rahaman berkata, siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor, manakala suspek kedua dipercayai pembantu kepada dalang yang membayar gaji suspek utama.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu mampu merosakkan kira-kira 392,098 orang.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





