Lelaki lakukan aksi lucah, curi wang RM390 dalam perpustakaan diburu

POLIS sedang memburu seorang lelaki yang melakukan aksi tidak senonoh di hadapan seorang pembantu pustakawan wanita di Perpustakaan Desa Padang Siding di Arau hari ini.

Dalam kejadian itu, pembantu pustakawan itu turut mendakwa wang tunai RM390 miliknya hilang dicuri lelaki berkenaan ketika mangsa mendapatkan bantuan.

TANGKAP layar rakaman kamera litar tertutup memakai pakaian serba hitam termasuk seluar pendek serta menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna kelabu. GAMBAR: IPD Arau

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian jam 11 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 37 tahun sedang bertugas di kaunter perpustakaan berkenaan.

Beliau berkata, suspek tiba-tiba masuk ke dalam perpustakaan itu dan duduk bersandar di sebuah sofa yang terletak bersebelahan dengan kaunter tempat mangsa bertugas.

“Suspek dan pengadu pada awalnya sempat berbual sebelum wanita itu menyedari suspek yang sedang bersandar itu melakukan perbuatan tidak senonoh.

“Terkejut dengan perbuatan jelik itu, mangsa bertindak berlari keluar dari perpustakaan untuk meminta bantuan rakannya, seorang pembantu Tadika Kemas berusia 44 tahun yang terletak berhampiran bagi menghalau lelaki itu,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, mangsa bersama saksi kemudian masuk semula ke dalam perpustakaan dan mendapati suspek masih berada di situ serta melakukan perbuatan tidak senonoh berkenaan.

Katanya, mereka berdua kemudian bertindak menghalau lelaki terbabit keluar dari bangunan tersebut.

“Bagaimanapun, selepas suspek beredar, mangsa membuat pemeriksaan terhadap beg duit miliknya yang diletakkan di bawah kaunter dan mendapati wang tunai berjumlah RM390 hilang.

“Mangsa mengesyaki perbuatan mencuri wang itu dilakukan suspek ketika dia berlari keluar dari perpustakaan untuk meminta pertolongan,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, suspek berpakaian serba hitam, berseluar pendek warna hitam dan melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna kelabu yang tidak dipastikan nombor pendaftarannya.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri di dalam bangunan dan Seksyen 509 KK atas kesalahan perbuatan mengaibkan kehormatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here