SEORANG lelaki warga emas dan anak saudaranya maut manakala dua lagi mangsa berjaya diselamatkan dalam kebakaran membabitkan rumah kedai tiga tingkat di Taman Bayu Perdana, Klang petang ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.51 petang sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
Menurut beliau, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai tiga tingkat bangunan kelas A.
“Kebakaran di tingkat dua bangunan dianggarkan 90 peratus. Keluarga memaklumkan terdapat empat orang mangsa yang mana dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.
“Sebaik api berjaya dipadamkan pada jam 6.33 petang, dua lagi mangsa yang terperangkap dijumpai dalam tandas berasingan iaitu seorang lelaki dewasa (66 tahun) dan seorang kanak-kanak lelaki (8 tahun),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, kedua-dua mangsa dipercayai bapa saudara dan anak saudara itu meninggal dunia di dalam tandas berasingan dan kematian mereka disahkan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada unit forensik Polis Diraja Malaysia. Dua mangsa yang terselamat mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan,” katanya.
Katanya lagi, pasukan forensik JBPM Selangor masih menjalankan siasatan awal bersama unit anjing pengesan (K9) JBPM.
“Premis diserahkan kepada forensik kebakaran JBPM untuk tindakan selanjutnya. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya jam 10.05 malam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kejadian itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.





