TIGA lelaki ditahan selepas disyaki menangkap ikan menggunakan vesel tanpa lesen sah dalam Operasi Bersepadu Inter Agensi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu (PPM W1) Pulau Pinang dan Jabatan Perikanan negeri, semalam.
Dalam operasi itu, sebanyak 194 set bubu naga dan satu jaringan pukat pari turut dirampas kerana disyaki digunakan bagi aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang.
PPM W1 menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan operasi berkenaan dijalankan susulan aduan komuniti nelayan dan masyarakat setempat berhubung kegiatan perikanan yang disyaki melanggar undang-undang di perairan Pulau Pinang.
“Bubu naga dan jaring pukat pari dianggarkan bernilai RM19,700 itu dirampas di beberapa kawasan jeti nelayan di Batu Kawan dan Bukit Tambun,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, tiga lelaki terbabit ditahan selepas pasukan operasi memeriksa sebuah sampan fiber tanpa nombor pendaftaran di kedudukan kira-kira 1.7 batu nautika dari Pulau Kendi, di sini.
Ketika pemeriksaan, kesemua mereka didapati sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di lokasi berkenaan.
“Sampan berserta enjin sangkut 115 kuasa kuda, hasil laut, peralatan menangkap ikan dan kelengkapan bot yang kesemuanya bernilai RM55,660 itu dirampas untuk siasatan,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan 1985 serta peraturan berkaitan larangan cara menangkap ikan.
PPM W1 turut menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang di perairan negeri.





