POLIS sedang mengenal pasti pihak yang dipercayai terbabit kes penyalahgunaan nama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan pegawainya untuk urusan perolehan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut pada 12 Ogos lalu.
“Berikutan laporan itu, polis telah memanggil tiga individu terdiri daripada pengadu dan saksi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, kita masih dalam usaha mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Aidi Sham berkata, siasatan dijalankan turut menjurus kepada sama ada ia membabitkan sindiket penipuan.
“Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan mana-mana sindiket penipuan terbabit dalam kes ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, AKPS membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan nama Ketua Pengarah dan pegawainya untuk urusan perolehan.
AKPS dilapor berkata, berdasarkan aduan diterima, terdapat syarikat yang sudah menerima dokumen didakwa sebagai Surat Setuju Terima (SST) yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah AKPS.
Katanya, ia membabitkan sejumlah nilai perolehan bagi pembekalan antaranya jaket pelindung diri taktikal, genset dan alat tulis.
Dokumen itu dipercayai menggunakan tandatangan Ketua Pengarah AKPS dan pegawai serta kepala surat palsu bagi meyakinkan pihak syarikat, tawaran berkenaan adalah urusan rasmi daripada AKPS.





