POLIS menahan seorang guru tahfiz bagi membantu siasatan dakwaan mencabul dan memukul dua murid lelaki berusia 11 tahun di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat, Kuala Lumpur sejak bulan lalu.
Tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pegawai berkenaan pergi ke maahad tahfiz terbabit susulan aduan mengenai dua kanak-kanak yang disyaki dicabul dan dipukul oleh seorang pengajar di pusat pengajian itu.
“Pengadu membawa dua mangsa lelaki berusia 11 tahun ke Hospital Selayang bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dicabul oleh suspek antara Julai hingga bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, kedua-dua mangsa turut mendakwa dipukul menggunakan rotan kayu pada 16 Ogos lalu kerana tidak berdisiplin ketika sesi pembelajaran.
“Susulan maklumat itu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan. Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Ogos depan,” katanya.
Beliau memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
“Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan pula, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya lagi.





