
SAYA telah menghadiri Konvensyen Pendidikan UMNO pada 8 September lalu di WTC, di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.
Panelis terdiri daripada orang akademik Universiti Malaya dan UKM. Ramai juga saya lihat peserta konvensyen yang datang dari seluruh negara memenuhi dewan tersebut.
Saya menyertai sesi 1 yang bertajuk Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B40 dan M40 dengan penuh teliti.
Saya menghormati pandangan semua panelis tetapi terus-terang saya katakan bahawa banyak perkara yang dilontarkan adalah perkara yang sudah lama serta berkali-kali dibincangkan terutama dalam banyak siri Konvensyen Pendidikan Melayu oleh UMNO sendiri.
Pada mulanya, saya fikir hanya saya yang perasan hal tersebut, namun setelah saya mendengar komen-komen di sekeliling saya termasuk perwakilan dari Sabah, nampaknya mereka juga mempunyai pandangan sama.

Akhirnya saya berpeluang untuk menyampaikan pandangan saya secara jujur dan Ikhlas daripada hati dalam sesi pandangan peserta.
Antara yang menarik perhatian ramai ketika saya mengemukakan pandangan ialah persoalan mengapa Program Penilaian Pelajar Antrabangsa (PISA) Malaysia berada di kedudukan yang rendah, sedangkan saban tahun kita diuar-uarkan dengan kenaikan pencapaian cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ?
Salah seorang panelis melontarkan persoalan tersebut kepada hadirin. Saya jawab berdasarkan situasi sebenar di peringkat sekolah tentang tekanan yang berlaku kepada guru-guru dalam menyediakan markah sama ada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), mahupun dalam peperiksaan.
Selain itu, saya turut menyentuh isu kecelaruan sistem pendidikan kita yang memerlukan satu revolusi struktur . Pandangan saya itu mendapat tepukan gemuruh peserta konvensyen.
Begitu juga luahan pendapat saya tentang akses pendidikan TVET swasta yang menjadi pilihan kepada golongan miskin B40 sentiasa kecoh akibat Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang selalu berubah dan mengenakan pelbagai syarat sehingga meningkatkan karenah birokrasi serta mematikan semangat mereka untuk belajar.
Menariknya, rumusan moderator yang mengatakan bahawa panelis tidak perlu lagi menjawab semua persoalan kerana saya juga seolah-olah sudah menjawab kesemua perkara yang dibincangkan mengundang ketawa peserta.
Saya yang menjawab secara Ikhlas tidak mengharapkan apa-apa reaksi luar biasa. Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, saya dikejutkan dengan viral video saya sepanjang memberi ulasan dalam tempoh 10 minit itu.
Sehari kemudian, saya menerima banyak video yang diviral pelbagai pihak. Bermula dengan sekadar rakaman di skrin tayangan, hinggalah ada yang mengedit daripada rakaman asal UMNO Online (lebih jelas). Pelbagai komen netizen juga sangat menarik yang seolah-olah menyokong fakta saya.
Golongan pendidik seperti cikgu sekolah bukan sahaja menghantar viral itu kepada saya tetapi juga berkongsi kebenaran situasi yang saya suarakan itu. Seorang rakan cikgu bergurau dengan saya bahawa jika saya mahukan markah penuh kebenaran fakta saya kepada maksimum 10 markah, beliau sanggup memberikan markah extra untuk menjadi 11 markah.
Bila saya berkongsi dengan pelbagai pihak terutama otai politik, mereka berpendapat bahawa sebenarnya rakyat di akar umbi pada ketika ini sudah bosan dengan cerita-cerita retorik terutama di kalangan pemimpin politik.
Apa yang sebenarnya mereka mahukan adalah membincangkan usaha membaiki segera kerosakan besar yang sedang berlaku di dalam negara sehingga menjadikan negara mengundur ke belakang, memberi kesan kepada rakyat dan menyukarkan kemajuan negara yang turut berdepan dengan cabaran besar dunia ketika ini.
Bagi sesetengah pihak seperti golongan pendidik, mereka menjadi semakin stress dengan kecelaruan sistem yang ada dan pelbagai kekangan yang menghalang mereka untuk meluahkan pandangan dan perasaan. Hari ini,bersuara seolah-olah dilihat anti establishment. Malah ada yang terpaksa menerima hukuman, hanya kerana memberikan kritikan.
Viral itu bukanlah mahu meletakkan saya sebagai hero, tetapi ia merupakan isyarat rakyat yang mahukan perubahan secara revolusi struktur, bukan lagi slogan reformasi.
Apa pun, mungkin benar juga mesej saya kepada Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Sekretariat Konvensyen Pendidikan UMNO sebelum konvensyen itu yang antara lain saya berpendapat supaya konvensyen pendidikan Melayu UMNO hendaklah ditambah baik supaya tidak kelihatan terlalu akademik dan tidak bermaya dengan wajah-wajah pencen sahaja.
Tanpa menidakkan mereka, keseimbangan panelis dengan aktivis pendidikan di lapangan hari ini adalah perlu untuk melahirkan idea dan gagasan yang lebih bermakna menuju masa depan.
Jemputlah kami yang berkelulusan dan berpengalaman ini.
*Penulis adalah usahawan dan aktivisi sosioekonomi.





