HANTARAN ‘Alhamdulillah’ oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook pagi ini mencetus tanda tanya.
Ramai tertanya-tanya adakah ia merujuk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan pagi ini bagi membincangkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di ruangan komen ada yang menitipkan syukur, berkat Jumaat dan Daulat Tuanku.
Media malam tadi melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermesyuarat semula hari ini bagi membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, seminggu selepas pertimbangannya ditangguhkan.
Permohonan pengampunan Najib dikatakan menjadi satu-satunya perkara dalam agenda mesyuarat lembaga itu hari ini.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilihat meninggalkan Istana Negara selepas dipercayai selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, pagi ini.
Beliau dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara jam 9.43 pagi tadi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire selepas hampir dua jam memasuki premis itu jam 7.48 pagi tadi.
Hannah bagaimanapun terus berlalu tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media yang menunggu di pekarangan pintu dua Istana Negara sejak 7 pagi tadi.
Hingga kini, kenderaan dipercayai membawa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar belum dilihat meninggalkan Istana Negara.
Pada 11 September lalu, media melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), memaklumkan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.




