Remaja Indonesia penjaga stor dadah ditahan bersama 30kg ganja bernilai RM1.29 juta

POLIS menahan seorang remaja lelaki warga Indonesia dan merampas sejumlah 25.95 kilogram (kg) dadah bernilai kira-kira RM1.29 juta, dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Jalan Delima, Taman Lian Seng, Kluang, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, remaja berusia 18 tahun itu dipercayai bertindak sebagai penjaga stor penyimpanan dadah di rumah berkenaan.

“Kita menjumpai lapan peket plastik disyaki syabu dengan berat 8.11 kg dan 38 peket plastik disyaki heroin dengan berat 17.84 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini, lapor BH.

Ab Rahaman berkata, suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Januari lalu dengan dalang sindiket masih diburu.

Beliau berkata, sindiket itu menjadikan rumah sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Menurutnya, suspek yang mempunyai pasport sah didapati tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah dan semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek tidak terbabit dengan mana-mana kes jenayah sebelum ini.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga Ahad ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here