Rakyat makin sengsara akibat krisis pemimpin, kelemahan pentadbiran awam

APABILA saya membantu menyelesaikan masalah pesawah, pemain TVET dan mendengar pelbagai keresahan usahawan, saya bukan sahaja turut bersimpati atas kesedihan mereka malah melihat belang sebenar kelompok yang berkuasa.

Sama ada orang politik bergelar  menteri, kepala GLC mahupun dar segi budaya kerja penjawat awam hari ini, sikap mereka menimbulkan rasa geram, marah dan mewujudkan jiwa memberontak kepada masyarakat marhaen termasuk saya.

Saya tidak bercakap secara sembrono atau sekadar mendengar cakap-cakap di kedai kopi tetapi turut berada di lapangan mendengar pelbagai keluhan yang saya lihat akan memberi kesan buruk kepada rakyat jauh lebih teruk daripada kerajaan terdahulu.

Situasi di peringkat bawahan tidak menggambarkan cerita guruh-gemuruh di atas kerana banyak isu rakyat tidak ditangani secara hands on sama ada oleh pemimpin negara, mahupun penjawat awam.

Dalam kes pesawah padi, saya banyak memfokuskan pesawah di Perak Tengah seperti skim padi Bota dan Lambor terutama masalah pengaliran air ke sawah. Ketika bermesyuarat dengan Bahagian Keterjaminan Makanan serta Bahagian Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), saya membawa pemain industri padi dari Kedah, Perak dan Melaka. Daripada masalah air sampailah isu benih, baja dan kini potongan padi yang mencekik pesawah kami bincangkan.

Tetapi apabila keadaan tidak selesai, maka berlakulah gelombang kritikan yang sangat berani di media sosial seperti Zainal Rashid Ahmad (ZRA) Strim untuk memberi tekanan hingga selesai sebahagian isu seperti kegagalan membekalkan baja 3 padi di Kedah.

Apakah Menteri KPKM, Mat Sabu, KSU, TKSU sampailah pegawai di peringkat bawah tidak mengetahui pelbagai isu yang sedang dan akan melanda seperti kemarau akibat El-Nino, keperluan baja dan sebagainya yang sudah dimaklumkan semua pihak sejak beberapa tahun lalu?

Penulis membela nasib pesawah Bota/Lambor yang menghadapi masalah air akibat kemarau kesan cuaca El-Nino.

Ketika saya membantu isu air di Bota,  para pesawah mendakwa sehingga saat ini pegawai kanan pertanian negeri Perak dan pegawai kanan daerah  tidak turun ke lapangan untuk melihat keresahan para pesawah yang telah menunggu hampir setahun untuk bersawah. Mereka telah kehilangan satu musim tahun ini (sekitar Mac 2026).

Di manakah benih padi yang berkilat segar dan gambar pameran kecanggihan tanaman padi di Pavilion Perak ketika MAHA 2026 di Serdang yang sepatutnya direalisasikan di kawasan luar jelapang padi seperti di Bota?

Kedaifan infrastruktur bendang di luar skim jelapang padi diberi alasan kerana permohonan skim padi Bota/Lambor yang sepatutnya diluluskan sebagai kawasan Jelapang Padi pada tahun 2017, masih tertangguh hingga kini?

Paling memeranjatkan ialah kegagalan KPKM mewujudkan pasukan petugas khas menangani cuaca El-Nino sektor pertanian yang sangat terkesan seperti sawah padi, bagi membolehkan pengurusan bencana ini dijalankan secara bersepadu dan berpantau?

Jika KPKM gagal melakukannya, mengapa kerajaan negeri juga tidak mengambil inisiatif menubuhkan pasukan ini? Akibatnya, petani menjadi mangsa.

Selepas berperang dengan isu pesawah, timbul pula isu pusat latihan TVET swasta yang saban tahun dilanda ‘penyakit’ yang saya sebut ‘pekeliling adhoc’ yang menjadi amalan agensi pembiaya dan pelbagai masalah lain yang  timbul tatkala saya berusaha membela nasib pengusaha dan pelatih pusat latihan kemahiran swasta (PLKS).

Sebagai otai dalam bidang ini (30 tahun), saya menyokong apa jua usaha yang dapat menjaga kualiti, keberhasilan dan pengurusan dana yang baik. Namun, bila wujud masalah keseragaman sistem, maka jahanamlah keseluruhan sistem TVET negara.

Saya sendiri menjadi mangsa terutama dalam program TVET sekuriti makanan dan perladangan dalam beberapa program yang diluluskan akreditasinya. Kementerian yang bertanggungjawab seperti KPKM dan Kementerian Perladangan dan Komoditi gagal untuk menjadi agensi peneraju kerana mereka tidak dipimpin oleh orang TVET plus teknikal pertanian/perladangan.

Lebih memeningkan, sejak kebelakangan ini, banyak pula kumpulan penasihat yang diragui kehebatan mereka sebagai penasihat TVET. Orang akademik berpusu-pusu menjadi penasihat. Kedengaran pelbagai Jawatankuasa Penasihat.

Ditambah dengan orang politik yang tiada pengalaman pernah belajar bidang TVET atau menguruskan TVET sebelum ini. Malah, sebahagian nama juga ‘terpalit dengan pelbagai skandal’ serta gagal membuktikan kejayaan projek mereka yang boleh kita banggakan.

Tiada salah mengambil orang akademik untuk mendapatkan pandangan tetapi pengalaman saya melihat orang akademik terlibat dalam TVET melalui penubuhan anak-anak syarikat yang menjalankan TVET sejak tahun 1990an lagi, bila berlaku krisis terutama melibatkan dana pembiayaan, syarikat-syarikat milik profesor dan IPTA adalah yang paling awal tutup berbanding otai seperti kami di PLKS.

Akibat masalah daya kepimpinan menteri, penjawat awam yang terikut dengan masalah tersendiri, akhirnya rakyatlah yang menjadi mangsa. Sana-sini rakyat sedang bercakap tentang pelbagai isu. Bukan sahaja dua perkara yang saya perkatakan. Semuanya sudah jadi kelam kabut.

Dua tahun lepas saya pernah menekankan tentang KPKM perlukan ‘Reset Pertanian’ yang banyak disokong oleh media tetapi hingga kini kelihatan semakin teruk.

Dalam bab TVET pula saya katakan bahawa ‘revolusi struktur’ perlu dilakukan kerana terlalu banyak ‘punahsihat’ yang merosakkan sistem. Semua pandangan saya adalah berdasarkan pengalaman panjang bersama kerajaan sebelum ini dalam merangka, melaksana dan menilai dasar kerajaan sebagai Rakan Strategik. Melihat baik-buruk sesuatu dasar berlaku.

Cuma kali ini, saya berasa lebih bimbang. Ramalan saya ialah negara akan terjunam teruk suatu hari dan sesiapa sahaja yang menerajui negara selepas ini akan melalui detik yang amat sukar untuk memulihkannya semula.

Yang kaya akan terus kaya, yang miskin akan terus menderita. Yang peritnya ialah majoriti rakyat yang akan berada dalam kategori miskin itu. Bersediakah kita untuk melihat kesedihan itu pada masa hadapan? Ramalan saya jarang tidak tepat !

*Penulis adalah usahawan dan aktivisi sosioekonomi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here