PERBUATAN tidak bertanggungjawab seorang pemuda merakam seorang wanita di dalam tandas sebuah kedai serbaneka di Bandar Inderapura di Jerantut memakan diri selepas dia ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi apabila mangsa yang sudah berkahwin dan berusia 26 tahun menyedari terdapat telefon bimbit yang dihulurkan dari bahagian atas dinding tandas bersebelahan.
Menurutnya, terkejut dengan kejadian itu, mangsa bersama ahli keluarganya bertindak memeriksa tandas berkenaan sebelum suaminya segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Jerantut yang bergegas ke lokasi berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 23 tahun.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 16 Plus yang dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nor Azman, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 22 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509/377D Kanun Keseksaan, manakala telefon bimbit berkenaan dihantar ke unit forensik PDRM untuk analisis lanjut.
Beliau pada masa sama menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi di media sosial yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sebelum ini, isu berkenaan tular di platform Threads selepas mangsa memuat naik hantaran mendakwa dirinya dirakam oleh seorang pekerja premis terbabit ketika singgah menggunakan kemudahan tandas di situ bersama keluarganya.





