TAWARAN upah RM10,000 dipercayai menjadi pendorong dua lelaki bertindak sebagai ‘transporter’ sebelum mereka ditahan bersama 56 bungkusan ganja seberat 58.1 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM174,000 di hadapan sebuah inap desa di Maran pada Isnin lalu.
Kedua-dua suspek berusia 44 dan 30 tahun itu yang mempunyai hubungan ipar ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Maran selepas pergerakan mereka mencurigakan ketika mengeluarkan empat beg dari bonet sebuah kenderaan kira-kira jam 1.20 pagi.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pemeriksaan terhadap beg berkenaan membawa kepada penemuan sejumlah bungkusan mampat berisi daun kering disyaki ganja.
Menurutnya, 18 bungkusan ditemukan dalam beg pertama, 16 dalam beg kedua, manakala beg ketiga dan keempat masing-masing mengandungi 12 dan 10 bungkusan.
Katanya, kesemua bungkusan itu dibalut menggunakan aluminium berwarna keemasan dan merah dengan jumlah berat 58.1kg, yang dianggarkan bernilai RM174,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit dipercayai diarahkan membawa bekalan dadah ke kawasan Pantai Timur, termasuk Pahang, yang dipercayai menjadi destinasi baharu bagi rangkaian berkenaan.
“Bekalan itu dirancang untuk disimpan di homestay berkenaan sebelum diserahkan kepada pembeli, manakala rangkaian terbabit dipercayai berasal dari kawasan utara tanah air,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini, lapor Sinar Harian.
Azry Akmar berkata, pemeriksaan rekod mendapati suspek pertama mempunyai tujuh rekod lampau, termasuk empat kesalahan berkaitan Akta Dadah Berbahaya, satu kesalahan di bawah Akta ATIPSOM serta kesalahan di bawah Akta Penagih Dadah.
Suspek kedua pula katanya, mempunyai lima rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan Akta Dadah dan Akta ATIPSOM, selain dua rekod dikehendaki di Kedah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kedua-duanya kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) akta sama selepas ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine,” tambah beliau.
Kedua-dua suspek direman dari 28 September hingga 4 Oktober, dengan polis dijangka memohon lanjutan reman bagi melengkapkan siasatan.
Dalam masa sama, polis turut menjalankan siasatan di bawah Akta Dadah (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap aset yang dimiliki suspek.
Azry Akmar berkata, pihaknya akan meneruskan usaha mengesan anggota sindiket lain yang masih bebas bagi memutuskan rangkaian pengedaran terbabit.
Sementara itu, beliau berkata, Op HAWKS yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dari 28 hingga 30 September lalu membawa kepada penahanan 365 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Operasi itu turut menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM221,190, termasuk 340 gram heroin, 120 gram syabu, 728 biji pil yaba seberat 80.5 gram, 58.1kg ganja, tujuh gram daun ketum, 167 liter air ketum dan 37.96 gram pil ketamin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Polis Kontinjen Pahang atau balai polis berhampiran.





