POLIS mengesahkan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menyiasat kejadian seorang lelaki yang tular memandu kereta sehingga memasuki kawasan landasan Stesen KTMB Jalan Limbungan di Pelabuhan Klang pada 11 Okt lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata dalam kejadian pada 11.40 malam itu, lelaki warga tempatan berusia 60 tahun berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kuala Lumpur.
“Lelaki itu telah memandu masuk ke laluan landasan kereta api dan bergerak sejauh 130 meter sehingga sampai di stesen berkenaan. Pihak KTMB berjaya mengeluarkan kereta itu daripada kawasan terbabit pada 1.40 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat oleh KTMB di bawah Seksyen 62 Akta Kereta Api 1991.
Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kawasan landasan di sebuah stesen kereta api dengan dakwaan individu terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol.





