Pelajar Tingkatan 4 didakwa bunuh Irene Sofiya

SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, awal bulan ini.

Tertuduh berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Irene Sofiya hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

ALLAHYARHAM Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pelajar itu didakwa membunuh Irene Sofiya di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng, antara jam 2.30 hingga 4 petang, 3 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali, lapor BH.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili Suhaila Shafi’uddin dan Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah agar menetapkan tarikh baharu memandangkan belum menerima laporan bedah siasat dan forensik patologi daripada pihak hospital.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan kes disebut semula pada 22 Disember depan serta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah pada jam 7 pagi sambil dikawal oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Sejurus pertuduhan selesai, tertuduh dibawa keluar oleh polis melalui pintu belakang.

Irene Sofiya ditemukan terbaring dalam dewan sekolah dengan kesan darah kering pada badannya selain lebam seolah-olah dipukul.

Susulan kejadian itu, polis melakukan beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng, termasuk sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Batang besi itu dibaluti tali leher berwarna biru pada bahagian hujung, dipercayai dijadikan sebagai pemegang untuk memukul mangsa.

Berdasarkan laporan bedah siasat, pukulan itu dipercayai mengenai bahagian kepala, tetapi terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here