PRU16: Peluang Pas dianggap lebih baik, sediakah UMNO serahkan jawatan PM?

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan (NS) telah menunjukkan kesepakatan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas.

Kesepakatan itu  dijangka berterusan pada PRN Melaka pada 14 November nanti.

Ketiga-tiga negeri itu adalah kubu UMNO. Di Johor, UMNO menang mutlak apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Selebihnya dimenangi oleh DAP (6 kerusi), PKR (1 kerusi) dan Amanah (1 kerusi).

Di Negeri Sembilan (NS), walaupun BN menang 18 daripada 36 kerusi dipertandingkan namun mereka terpaksa meminta ehsan Pas dan Wawasan untuk menubuhkan kerajaan negeri yang memerlukan majoriti mudah 19 kerusi.

Pas memenangi 4 kerusi manakala Wawasan (3 kerusi) manakala 11 kerusi lagi dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) sekutu BN dalam kerajaan negeri sebelum PRN.

Di Melaka pula, sebelum DUN dibubarkan pada 23 September lalu, BN menguasai 21 daripada 28 kerusi iaitu UMNO (18 kerusi), MCA (2 kerusi) dan MIC (1 kerusi). Bagaimanapun kesepakatan antara BN dan PN khususnya melibatkan UMNO dan Pas akan menempuh ujian sebenar apabila Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.

Ia  terutamanya melibatkan pembahagian kerusi Parlimen di tujuh negeri yang UMNO tidak menang satupun dalam PRU-15. Negeri berkenaan ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka.

Sedangkan Pas yang mewakili PN menguasai 2 daripada 3 kerusi Parlimen di Perlis, Kedah (8 daripada 15 kerusi), Melaka (2 daripada 6 kerusi), Perak (5 daripada 24 kerusi), Pahang (5 daripada 14 kerusi), Kelantan (9 daripada 14 kerusi – selebihnya dimenangi Bersatu dan sapu bersih kesemua 8 kerusi Parlimen di Terengganu. Di Pahang UMNO menang lima kerusi manakala di Perak tiga kerusi.

Penulis membentangkan angka-angka ini bagi menunjukkan bahawa ujian sebenar kesepakatan itu akan tiba apabila rundingan bagi kerusi Parlimen antara kedua-dua parti diadakan bagi menghadapi PRU16.

Rundingan dijangka jauh lebih sukar berbanding rundingan kerusi DUN di PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ia memandangkan pada PRU-15, Pas secara bersendirian menguasai 43 kerusi Parlimen daripada 64 kerusi ditandinginya manakala UMNO secara bersendirian hanya menang 26 daripada 119 kerusi ditandinginya.

Kalau melihat prestasi PRU15 ternyata Pas lebih baik daripada UMNO.Walaupun UMNO mendakwa sokongan kepada parti itu semakin meningkat dengan menjadikan kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan sebagai ukuran namun ia bukanlah jaminan UMNO boleh menang besar di kerusi Parlimen dalam PRU16 nanti.

Tambahan pula adakah Pas bersedia mengorbankan mana-mana daripada 43 kerusi Parlimen yang dikuasainya khususnya di Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak?

Ramai pemerhati politik melihat PRU16 adalah peluang terakhir untuk kepimpinan Pas sedia ada meletakkan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri.Atas sebab itulah Pas menerajui Perikatan Nasional (PN) dengan meletakkan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi gabungan itu walaupun terpaksa ‘berperang besar’ dengan Bersatu.

Memang benar Ahmad Samsuri bukanlah Ketua Pembangkang. Jawatan itu diberikan kepada Presiden Wawasan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tetapi ia bukan bermaksud Hamzah adalah calon PM.

Lagipun kedudukan PN sekarang tidak menentu dan sedang berhadapan dengan kemungkinan dibubarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Kalau PN dibubarkan, maknanya Pas akan bertanding atas nama dan logo parti sendiri, jadi jika mereka menang lebih banyak kerusi berbanding UMNO dan Wawasan, tak kan Pas mahu serah jawatan PM kepada kedua-dua parti itu?

Atas sebab itulah sehingga ke hari ini, Pas bukan sahaja tidak menyebut siapa calon PM untuk PN malah mereka juga tidak memberi komitmen adakah akan menyokong Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menjadi PM jika kesepakatan antara dua parti itu berjaya menubuhkan kerajaan  selepas PRU16?

Pas bermain cara selamat dengan alasan ‘masih awal namakan calon PM’ sedangkan UMNO sudah pasti mahukan Ahmad Zahid menjadi PM. Kalau tidak, ke mana  Ahmad Zahid jika gabungan UMNO-Pas memenangi PRU16?

Seperkara lagi UMNO sudahpun meletakkan sasaran untuk memenangi 60 kerusi Parlimen dalam pilihan tersebut. Soalnya kerusi manakah yang terpaksa dikorbankan oleh Pas? Adakah Pas akan membenarkan UMNO kembali dominan?

UMNO harus ingat berbanding Pas, UMNO masih ada ‘cacat celanya’ lagi yang memungkinkan masih ramai orang Melayu tidak memihak kepada parti itu. Sebab itulah UMNO beria-ia mahu bekerjasama dengan Pas atas nama penyatuan Melayu. UMNO tahu keuntungan yang boleh diperolehi melalui langkah tersebut walaupun tidak semua barisan kepimpinan UMNO bersetuju.

Melalui percaturan politik itu juga UMNO mahu menggunakan Pas memenangi semula kerusi-kerusi yang mereka tewas dalam PRU-15 lalu khususnya kerusi Parlimen. Tetapi untuk rekod pada PRU15, calon UMNO dan Pas bertembung di 61 kerusi. Pas memenangi 39 kerusi manakala UMNO 22 kerusi. Jadi siapa yang harus berkorban atau dkorbankan?

Seorang pemimpin UMNO pernah memberitahu penulis bahawa Pas mempunyai strategi politik licik. Oleh itu rundingan kerusi Parlimen nanti adalah detik paling penting, sama ada UMNO akan mendapat manfaat atau Pas yang semakin kuat.

Yang penting kedua-dua ada misi ‘sulit’ dalam kesepakatan itu, UMNO mahu kembali dominan dan menjadi PM manakala Pas mahu menguasai Putrajaya bukan lagi sekadar ‘pelengkap’ sepertimana ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM sebaliknya seperti mana kata orang Pas kepada penulis, ‘’kali ini bagilah peluang kami pulak’’.

 Kata-kata itu mungkin daripada orang biasa tetapi mendalam maksudnya, apatah lagi sentimen itu semakin meningkat dalam kalangan akar umbi. Percayalah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here