JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menegaskan kenderaan persendirian yang tular menerusi video kerana menggunakan tulisan ‘BOMBA’ serta lampu amaran khas bukan milik jabatan itu atau mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.
Dalam kenyataan media hari ini, JBPM Kedah berkata pihaknya memandang serius penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung perkara berkenaan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan perkara ini tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
JBPM Kedah turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang prihatin dan menyalurkan maklumat berhubung isu berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan maklumat yang disebarkan tepat dan sahih.
JBPM Kedah menegaskan komitmennya untuk memelihara integriti serta profesionalisme jabatan bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kebombaan terus terpelihara.





