Pajakan 28 helikopter jimat RM3 bilion, aset udara JBPM meningkat kepada 10

KERAJAAN menjimatkan RM3 bilion menerusi kaedah pajakan 28 helikopter untuk kegunaan beberapa agensi kerajaan, termasuk penambahan dua helikopter AW139 yang meningkatkan jumlah aset udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada 10 buah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pendekatan pajakan itu menggantikan kaedah pembelian secara terus, selain membolehkan tanggungjawab penyelenggaraan aset diserahkan kepada syarikat konsesi sepanjang tempoh 15 tahun.

“Dulu kita terpaksa beli. Kita kini buat sistem pajakan dan kita tidak perlu lagi menguruskan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Helikopter AW139 JBPM di Hangar 75, AIROD Sdn Bhd di Subang hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, penambahan dua helikopter AW139 itu akan memperkukuh keupayaan JBPM melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pemadaman kebakaran hutan, pemindahan pesakit serta penghantaran bantuan logistik.

Katanya, penggunaan aset udara membolehkan pasukan penyelamat digerakkan dengan lebih pantas ke lokasi kejadian, khususnya kawasan yang sukar diakses, selain mengurangkan risiko keletihan dan kecederaan dalam kalangan anggota ketika operasi.

Penambahan itu juga dijangka meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi udara JBPM daripada 50 kepada 85 peratus, dengan kedua-dua helikopter dilengkapi sistem Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Helikopter (HEMS), kata beliau.

Ujar beliau, sebuah helikopter akan ditempatkan di Bertam, Pulau Pinang, manakala lokasi pangkalan bagi sebuah lagi akan ditentukan berdasarkan keperluan operasi.

Kor Ming berkata, sebelum penambahan dua AW139 berkenaan, JBPM mengoperasikan lapan helikopter yang ditempatkan di tiga pangkalan udara di Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.

Jabatan itu turut mempunyai 26 juruterbang helikopter, termasuk jurulatih penerbangan bertauliah bagi mengendalikan helikopter jenis AW109 dan AW139.

Beliau berkata, perubahan iklim, peningkatan risiko bencana, pembangunan bandar serta keperluan operasi di kawasan pedalaman menuntut JBPM terus memodenkan aset dan memperkukuh keupayaan pasukan.

Beliau turut berkongsi pengalaman Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) yang diterbangkan ke Gunung Batu Putih bagi melaksanakan operasi mencari seorang pendaki yang hilang selama 14 hari, sekali gus membuktikan kepentingan sokongan aset udara dalam operasi di kawasan sukar dimasuki.

Bahagian Udara JBPM yang ditubuhkan pada 1998 bermula dengan dua helikopter dan kini melaksanakan pelbagai misi termasuk pemadaman kebakaran hutan, SAR, pemindahan perubatan (MEDIVAC), ambulans udara, pemindahan mangsa bencana (BODEVAC) serta penghantaran logistik.

Kor Ming turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pihak industri dalam pembangunan teknologi penerbangan, latihan serta pemindahan kepakaran bagi memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan operasi terus dipertingkatkan.

 

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here