Wanita rugi RM34,193 diperdaya tawaran kerja promosi hotel

HASRAT seorang wanita mendapatkan pendapatan sampingan menerusi kerja mempromosikan bilik hotel secara dalam talian bertukar mimpi ngeri apabila dia kerugian RM34,193 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan.

Mangsa berusia 39 tahun itu dikatakan menerima tawaran kerja sambilan berkenaan daripada seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp pada 29 Oktober lalu.

Menurut sumber, wanita terbabit yang berminat dengan tawaran itu kemudian diminta mendaftar melalui pautan laman web Corda.Ltd yang didakwa berdaftar di Singapura.

“Selepas menunjukkan minat, dia diminta mendaftar menerusi pautan laman web berkenaan sebelum memasukkan nama dan nombor akaun bank bagi tujuan pembayaran komisen.

“Pada 1 November lalu, dia diminta mengakses laman sesawang itu untuk menjalankan tugasan mempromosikan iklan hotel,” katanya, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran bagi tujuan tempahan hotel sebelum dibenarkan meneruskan tugasan berkenaan.

Sumber berkata, wanita itu melakukan sembilan transaksi berjumlah AS$7,515 (kira-kira RM34,193.25) ke tiga akaun bank berbeza.

“Pada awalnya, dia hanya diminta menjalankan tugasan mempromosikan iklan hotel, namun kemudian diminta menambah wang bagi tempahan hotel menerusi laman sesawang berkenaan.

“Selepas semua pembayaran dibuat, individu terbabit sekali lagi memintanya memindahkan kira-kira RM15,000,” katanya.

Mangsa bagaimanapun mula mengesyaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Sea Park, kelmarin untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here