PERIKATAN Nasional (PN) mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira hak rakyat Sarawak untuk menentukan sendiri kepimpinan serta hala tuju negeri berkenaan.

“PN menghormati hak rakyat Sarawak untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju negeri mereka.
“Kami akan terus memberi perhatian kepada isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat Sarawak dan membawa suara mereka di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berharap proses pilihan raya berkenaan berlangsung lancar dan aman, selain seluruh rakyat Sarawak dapat menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin mereka.
Berdasarkan rekod daftar pemilih, seramai 2,058,781 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Sarawak Ke-13.
Hari pengundian ditetapkan pada 12 Disember ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember depan.





