SEORANG bekas anggota sebuah jabatan penguat kuasa kerajaan yang dipecat kerana terpalit dengan kes jenayah dan dadah direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung cubaan mencuri sebuah kenderaan, di Batu Pahat.
Perintah reman terhadap suspek berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman, hari ini, lapor Berita Harian.
Suspek yang juga seorang duda dan tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai bertindak sebagai ‘pembantu’ kepada sindiket mencuri kenderaan dan ditahan ketika dipercayai cuba melarikan sebuah pikap di Taman Ceria, semalam.
Mengikut fakta kes, suspek bersama seorang lagi lelaki berusia 40-an yang dipercayai dalang utama sindiket itu didakwa cuba mencuri sebuah pikap milik sebuah syarikat yang diparkir di belakang sebuah hotel.
Kejadian berlaku ketika pekerja syarikat terbabit membawa pikap berkenaan ke pasar malam sebelum kembali ke kenderaan itu selepas selesai membeli-belah.
Bagaimanapun, pekerja berkenaan terkejut apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam kenderaan terbabit sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 7.30 malam.
Menyedari suspek ditahan, rakan sejenayahnya dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan lain.
Siasatan awal mendapati suspek bersama rakannya dipercayai menyasarkan pikap jenis Toyota Hilux sebelum membawa kenderaan curi itu ke sempadan untuk dijual.
Semakan mendapati suspek mempunyai 106 rekod jenayah dan dadah, termasuk rekod berkaitan kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.
Suspek juga dipercayai baru beberapa hari direkrut oleh dalang utama sindiket berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, manakala usaha mengesan dalang utama sindiket itu sedang giat dijalankan.





