SEORANG guru peribadi didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kepada kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Nur Dalila Salleh, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ketika kejadian, didapati mendedahkannya kepada kecederaan fizikal ketika berada dalam jagaannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12 tengah hari, 12 Disember 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala tertuduh diwakili Norfazlinda Alimad.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 selain tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu supaya jaminan minimum diberikan dengan alasan ia hanya bertujuan memastikan kehadiran tertuduh pada setiap prosiding sehingga kes selesai dan bukan bersifat menghukum.
Menurutnya, tertuduh tinggal di Melaka dan tiada risiko melarikan diri, selain sudah memberikan kerjasama penuh dalam siasatan sejak awal serta tidak mempunyai rekod jenayah.
“Anak guam berusia 25 tahun, masih bujang dan bekerja sebagai pentadbir platform beli-belah dalam talian dengan pendapatan RM1,700 sebulan.
“Dengan pendapatan itu dia menanggung ibunya yang menghidap penyakit saraf pada lutut serta ayah selain membayar pinjaman pelajaran,” katanya, lapor Harian Metro.
Peguam itu turut memaklumkan ibu tertuduh hadir untuk menjaminnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Tertuduh membayar jaminan berkenaan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Oktober depan bagi serahan dokumen.




