MANGSA kemalangan di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang terselamat semalam telah dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di Kuala Krai.
Difahamkan, Nur Balqis Abli, 21, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan.
Bapa saudara mangsa, Mohamad Emerul Hakim Abdullah berkata, dia dimaklumkan anak saudaranya itu mengalami beberapa kecederaan serius termasuk pendarahan di bahagian kepala, hati dan paru-paru.
Katanya, selepas beberapa kali imbasan CT (CT scan) dijalankan doktor mendapati keadaannya semakin positif.
“Nur Balqis kini masih ditempatkan di ICU di hospital berkenaan. Alhamdulillah.. selepas beberapa kali CT scan dibuat doktor mendapati keadaannya semakin positif.
“Doktor memberitahu kesan lebam di kepalanya mungkin disebabkan oleh kecederaan dan bukanlah berlaku akibat pendarahan dalaman. Begitu juga kesan lebam yang dikesan di bahagian hatinya.
“Kebocoran di paru-parunya juga didapati semakin mengecil. Alhamdulillah tahap kesihatannya menunjukkan perkembangan yang baik,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Media semalam melaporkan, tiga maut apabila lori tangki membawa muatan diesel bertembung dengan sebuah Perodua Myvi di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Sejuk di Gua Musang awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, pemandu Perodua Myvi, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, penumpang hadapan Maria Yusuff, 42, dan penumpang belakang, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, iaitu anak Maria maut di lokasi kejadian.
Nur Balqis yang berada di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan terbabit.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang.
Mohamad Emerul Hakim berkata, Nur Balqis akan disedarkan esok bagi membolehkan pasukan perubatan membuat penilaian semula terhadap tahap kecederaannya.
Katanya, keluarga juga akan berikhtiar dengan membuat solat hajat untuk kesembuhan Nur Balqis.
“Saya harap orang ramai juga dapat mendoakan kesembuhan anak saudara saya semoga dia sembuh seperti sedia kala. Selain itu kami juga akan melakukan solat hajat pada malam ini di masjid,” katanya.
Kemalangan terbabit juga menyebabkan Nur Balqis dan dua lagi adiknya kini menjadi yatim piatu kerana sudah kehilangan ayah sejak setahun lalu.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Nur Balqis dan adik-adiknya boleh menyalurkan sumbangan melalui akuan bank Mohamad Emerul Hakim Abdullah ke Bank Islam 03090020599799.






