PENGERUSI Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengingatkan, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketidaktentuan politik akan menjejaskan reformasi sedang berjalan dan menghakis keyakinan pelabur..
Beliau membuat kenyataan itu sebagai respon kepada tindakan DAP yang akan mengadakan Kongres Khas pada 12 Julai bagi membincangkan kedudukan pemimpin parti itu dalam kerajaan.
Dr.Zaliha menegaskan setiap parti politik sememangnya mempunyai hak demokrasi untuk mengurus dan membincangkan hal ehwal dalaman masing-masing.
‘’Namun demikian, dalam konteks tadbir urus negara, keutamaan mesti kekal berpaksikan tanggungjawab kolektif, kestabilan politik dan kesinambungan dasar,’’ katanya.
Beliau berkata, pada ketika ini, Parlimen sedang dan akan terus memberi keutamaan kepada beberapa Rang Undang-Undang (RUU) strategik serta inisiatif reformasi perundangan yang memerlukan sokongan majoriti yang kukuh serta koordinasi yang berdisiplin dalam kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan MADANI.
‘’Reformasi institusi, pengukuhan tata kelola dan pembaharuan struktur pentadbiran bukanlah agenda jangka pendek, sebaliknya merupakan proses berperingkat yang menuntut kesatuan dan keteguhan politik,’’ katanya.
Dr.Zaliha menegaskan, komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri untuk mempercepatkan pembentangan serta kelulusan RUU Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri merupakan manifestasi jelas kesungguhan Kerajaan dalam melaksanakan reformasi secara berinstitusi.
‘’Ini membuktikan bahawa agenda perubahan sedang diterjemahkan melalui saluran Perlembagaan dan proses Parlimen yang sah, bukan sekadar naratif politik.
‘’Agenda reformasi yang sedang berjalan adalah hasil rundingan, kesepakatan dan penjajaran antara parti-parti komponen serta institusi negara. Sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketidaktentuan politik berpotensi menjejaskan momentum reformasi serta keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kestabilan negara,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakan komponen dalam Kerajaan MADANI agar terus memperkukuh komitmen bersama, mengekalkan disiplin dan memastikan mandat rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya.
‘’Keutamaan kita mesti jelas dan konsisten untuk terus memperkukuhkan institusi Parlimen, melaksanakan reformasi secara bertanggungjawab serta memelihara kestabilan politik demi kemaslahatan rakyat dan masa depan negara,’’ katanya.


