SEORANG pemandu lori terselamat manakala kelindannya cedera akibat melecur selepas lori tiga tan terbakar berhampiran Plaza Tol Kajang menghala ke Seremban, hari ini.
Dalam kejadian itu, lori yang membawa muatan tong gas cecair petroleum (LPG) dilaporkan musnah kira-kira 98 peratus.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.44 petang sebelum menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bergegas ke lokasi.
“Komander operasi melaporkan sebuah lori tiga tan membawa muatan tong LPG terbakar dan pemadaman segera terus dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
“Seorang mangsa lelaki dewasa iaitu kelindan lori mengalami kecederaan akibat melecur.
“Pasukan EMRS BBP Bangi memberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum membawa mangsa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan manakala operasi pemadaman serta kawalan di lokasi berjalan lancar.





