Remaja melecur 80 peratus terkena renjatan elektrik ketika perarakan Tokong Sayur

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun melecur 80 peratus badan selepas terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan Tokong Sayur di Mergong, Alor Setar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dua lagi mangsa berusia 17 tahun masing-masing melecur 20 dan 40 peratus badan.

Menurutnya, mangsa yang melecur 80 peratus badan masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Dua lagi remaja yang masing-masing melecur 20 dan 40 peratus badan sudah sedar, namun masih dalam pemantauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.20 malam selepas menerima panggilan daripada pegawai penyelaras kawalan perarakan Tokong Sayur penganut Tow Boo Keong, Inspektor Siti Nur Hajidah Haifulizan.

Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga remaja itu terkena renjatan elektrik apabila tiang bendera yang dibawa mereka tersentuh talian utama bekalan elektrik ketika perarakan berlangsung.

“Hasil temu bual dengan seorang mangsa mendapati tiang bendera dibawa mereka tersentuh talian bekalan elektrik pada ketinggian dianggarkan 10 meter, menyebabkan dia dan dua lagi peserta terkena renjatan elektrik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga remaja lelaki cedera selepas tiang bendera yang dibawa ketika perarakan itu terkena talian pencawang elektrik bervoltan tinggi di Mergong, malam tadi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here