PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya keputusan berhubung nasib Datuk Seri Najib Razak kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menjelang Mesyuarat Lembaga Pengampunan esok.
“Kita mengharapkan yang terbaik dan kerana kuasanya adalah hak mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
“Saya yakin budi bicara dan kebijaksanaan Tuanku akan menentukan keputusan muktamad dan hak mutlak Tuanku untuk diumumkan,” katanya selepas melancarkan Buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib, 72, yang juga Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018, disabitkan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang mula dijalaninya di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.
Bagaimanapun Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta. Lembaga itu dijangka mempertimbangkan permohonan pengampunan terbaharu Najib pada Jumaat.
Najib masih terlibat dalam beberapa prosiding jenayah dan sivil berkaitan 1MDB serta SRC yang belum selesai, selain prosiding kebankrapan berkaitan hutang cukai RM1.69 bilion.





