SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa pemimpin kanan UMNO bakal dipanggil selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya tidak mengetahui sumber dakwaan berkenaan dan tiada penyiasatan terhadap pemimpin kanan UMNO seperti dilaporkan.
“Setakat yang saya tahu dan juga SPRM, tidak ada. Saya pun tidak tahu dari mana berita itu datang dan tidak ada dalam senarai kita sekalipun penyiasatan terhadap pemimpin kanan UMNO,” katanya ketika sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang membuat dakwaan sedemikian perlu mengemukakan bukti sahih daripada sumber yang dipercayai.
“Kalau ada pihak-pihak yang mengetahui sesuatu itu, dapatkanlah bukti yang sahih daripada pihak yang menjadi sumber,” katanya.
Terdahulu, UMNO menegaskan tidak akan menghalang tindakan SPRM jika terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemimpin parti itu jika terlibat dalam apa jua salah laku.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi membolehkan proses pendakwaan dijalankan sekiranya siasatan mendapati terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian.





