PENCARUM yang kekal dengan Skim LINDUNG 24 Jam dan pencarum wajib Skim LINDUNG Kendiri bakal menikmati pelepasan cukai tambahan sehingga RM150 menerusi Belanjawan 2027.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 8.5 juta pencarum LINDUNG 24 Jam serta 1.7 juta pencarum LINDUNG Kendiri.
“Dalam tempoh empat bulan pertama pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, skim ini merekodkan 10,424 tuntutan atau 85 kes sehari yang mencerminkan kepentingan perlindungan melangkaui waktu bekerja untuk mendepani risiko kehidupan seharian.
“Insentif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan perlindungan melalui LINDUNG 24 Jam, termasuk mereka yang sebelum ini memilih untuk opt-out untuk opt-in semula, di samping memperluas penyertaan dalam LINDUNG Kendiri,” menurut kenyataan itu.
Belanjawan 2027 turut memperuntukkan caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing, yang akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung sebahagian caruman pekerja.
PERKESO berkata, insentif caruman padanan sebanyak 70 peratus turut disediakan kepada lebih 200,000 orang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori bagi meringankan beban caruman dan memperluas akses kepada perlindungan keselamatan sosial.
“PERKESO menyambut baik inisiatif ini dan akan memastikan segala persiapan operasi serta sistem dilaksanakan dengan teratur bagi membantu orang bekerja sendiri mencarum LINDUNG Kendiri dan memanfaatkan insentif padanan caruman yang ditawarkan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, lebih 40,000 imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir akan menikmati faedah PERKESO menerusi pembiayaan oleh Tabung Haji.
PERKESO turut menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan menerusi Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS), untuk pemandu kenderaan berat perdagangan berusia 40 tahun ke atas bagi mengesan masalah kesihatan lebih awal dan mengurangkan risiko ketika memandu.





