Syabu, air ketum jadi ‘booster’ pemandu bas dan lori kejar trip

AIR ketum dan dadah jenis syabu dikesan menjadi ‘booster‘ dalam kalangan segelintir pemandu kenderaan perdagangan dan bas yang sanggup mengambil bahan terlarang itu bagi membolehkan mereka bekerja lebih masa serta mengejar lebih banyak perjalanan.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, trend penyalahgunaan methamphetamine dan air ketum dalam kalangan golongan itu menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak lima tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, hasil Operasi Bersepadu Dadah yang dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara bermula semalam mendapati seramai 22 pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam positif dadah.

“Operasi bermula dari pagi hingga jam 6 petang semalam di seluruh negara dengan AADK menjalankan saringan air kencing terhadap 244 pemandu.

“Dalam tempoh sehari sahaja, seramai 22 pemandu didapati positif dadah iaitu 14 positif syabu, enam positif air ketum dan dua lagi positif ganja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan operasi berkenaan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, malam tadi.

Menurutnya, kebanyakan pemandu mengambil syabu dan air ketum kerana percaya bahan itu mampu memberi tenaga tambahan untuk memandu dalam tempoh yang panjang.

Katanya, keadaan itu amat membimbangkan kerana kedua-dua bahan terbabit boleh menyebabkan ketagihan dan menjejaskan keupayaan pemandu mengendalikan kenderaan dengan selamat.

“Jika mereka tidak mengambil bahan itu, mereka akan mengalami simptom ketagihan yang boleh meningkatkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya.

Ruslin berkata, di Negeri Sembilan sahaja, sembilan pemandu didapati positif dadah termasuk seorang pemandu bas pelancong yang dikesan positif air ketum.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan bukan sahaja akan diambil terhadap pemandu yang didapati positif dadah, malah syarikat pengangkutan yang menggaji mereka juga boleh dikenakan tindakan.

Katanya, operasi bersepadu itu membabitkan tujuh agensi termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pihak konsesi lebuh raya.

“Operasi memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan perdagangan, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan pelancongan.

“Bagi pemandu yang didapati positif dadah, AADK akan mengambil tindakan lanjut manakala JPJ akan menahan Lesen Vokasional (PSV/GDL), menjalankan siasatan dan menggantung lesen memandu mereka,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan turut dipertanggungjawabkan memastikan pemandu yang digaji bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Kegagalan mematuhi syarat lesen atau menggaji pemandu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan termasuk penggantungan lesen pengendali,” katanya.

Menurutnya, operasi itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan sektor pengangkutan negara dikendalikan oleh pemandu yang berintegriti, berdisiplin dan bebas daripada penyalahgunaan dadah demi keselamatan pengguna jalan raya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img