Sindiket penipuan Forest City: 2 warga China didenda RM7,000, penjara sebulan

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman denda RM7,000 dan penjara sebulan masing-masing terhadap dua lelaki warga China selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjadi ahli sindiket penipuan dalam talian atau love scam, pertengahan bulan ini.

Lin Kun Chi, 32 dan Bai Kan Sen, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Shaarmini.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama-sama didakwa menjadi pihak kepada satu pakatan jenayah dan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu cubaan menipu mangsa melalui kaedah love scam.

Kedua-dua mereka didakwa dilakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Forest City 17, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri kira-kira jam 12.16 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah untuk melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, kedua-dua warga China terbabit mohon hukuman diringankan kerana mereka mendakwa ditipu ejen pekerjaan dan mempunyai keluarga di China serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, seramai 18 warga Indonesia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan ke atas mereka dalam bahasa Melayu.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Syafeeqah Mohd Shariffudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula ditetapkan pada 11 Ogos depan dan mahkamah akan menghantar surat kepada pihak kedutaan Indonesia sekiranya mahu memberi bantuan guaman.

Mereka yang dituduh adalah sebahagian 355 individu yang ditahan dalam serbuan ke atas 32 premis dengan nilai rampasan RM1 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilapor berkata, serbuan merangkumi 27 unit apartment dan lima unit banglo di Forest City, Iskandar Puteri yang didapati beroperasi sebagai ‘calling centre’ bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.

Semalam, seramai 159 warga China didakwa di tiga Mahkamah Majistret berasingan di Johor Bahru atas tuduhan pakat jahat jenayah membabitkan cubaan menipu pelaburan kripto tidak wujud, dua minggu lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img