SEORANG pegawai khidmat pelanggan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia 18 bulan, tiga tahun lalu.
Tertuduh, G Thevendhiran, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebelum ini bekerja di Singapura didakwa membunuh bayi itu di sebuah kondominium di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru antara jam 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dikenakan hukuman gantung, pesalah hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqila Aliman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak memberikan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 1 Oktober depan untuk serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi dan forensik.
Sementara itu dalam prosiding berasingan, tertuduh turut didenda RM3,000 dan dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.
Majistret A Shaarmini turut memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan kondominium sama pada jam 1 tengah hari, 18 Julai lalu, mengikut Seksyen 29(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, polis mengklasifikasikan semula kes kematian bayi berkenaan sebagai kes bunuh selepas menahan bapa kandung mangsa yang dikenal pasti sebagai suspek utama pada 18 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapanya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 13 September 2023, dengan pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur mangsa.






