TEKONG penyeludup dikesan sanggup mengemudi bot pada kelajuan tinggi dalam keadaan gelap merentasi lebih 12 kilometer (km) di Sungai Kelantan bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini tanpa dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, hasil pemantauan mendapati tekong terbabit cukup mahir dengan keadaan muka bumi dan selok-belok laluan sungai sehingga berjaya meloloskan diri daripada buruan penguat kuasa.
Menurutnya, PATI dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dari Thailand sebelum memasuki Sungai Kelantan dan menjadikan negeri ini sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke destinasi pekerjaan.
“Kelantan khususnya kawasan Kota Bharu dan Tumpat dikenal pasti menjadi lokasi transit sebelum mereka dibawa ke lokasi pekerjaan yang telah diaturkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan mengesan cubaan kemasukan PATI itu adalah hasil risikan dan pemantauan berterusan yang dijalankan pihaknya bagi membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 malam Rabu lalu, sebuah bot dipandu laju dikesan memasuki muara Sungai Kelantan sebelum anggota penguat kuasa melancarkan tindakan mengejar.
Katanya, bot berkenaan dikejar sehingga ke kawasan Pasir Pekan Hilir, Tumpat, namun berjaya meloloskan diri kerana dipandu dalam keadaan gelap.
“Bagaimanapun, operasi susulan kira-kira jam 12.20 pagi menemukan lapan warga Myanmar yang dipercayai diturunkan oleh tekong dan bersembunyi di sebalik semak berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Menurut beliau, kesemua individu berusia antara 18 hingga 51 tahun itu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Hasil siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur untuk bekerja dalam sektor perkilangan.
“Siasatan turut mendapati setiap seorang dipercayai membayar RM6,000 kepada ejen dan mengambil masa kira-kira empat hari untuk tiba di negara ini sebelum ditahan,” katanya.
Kesemua PATI terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali untuk tindakan dan siasatan lanjut.






