SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dikhuatiri lemas dihanyutkan arus selepas terjatuh ke dalam longkang ketika mahu mengambil bola di sebuah kondominium di Bandar Mahkota Cheras, Kajang hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.08 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang bergegas ke lokasi.
“Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dipercayai terjatuh ke dalam longkang untuk mengambil bola.
“Ketika kejadian berlaku, arus longkang deras dan disyaki mangsa dibawa arus,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dilakukan.
Operasi turut melibatkan anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor yang digerakkan ke lokasi, katanya.
Ini merupakan kejadian lemas kedua di Selangor dalam tempoh seminggu. Semalam, seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor ditemukan lemas.
Mayat Khairil Izani Khaizalullinordin, 10, ditemukan di sungai sekitar Sungai Buloh, Ijok pada jam 1 petang semalam selepas hilang akibat terjatuh ke dalam longkang dan dibawa arus deras sejak Selasa lalu.


