POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai mendera anak tirinya berusia dua tahun 11 bulan di hadapan Hospital Tunku Ja’afar (HTJ) di Seremban malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, lelaki terbabit ditahan di hadapan HTJ ketika berada dalam kereta bersama isterinya yang juga ibu kanak-kanak terbabit.
Katanya, mangsa dipercayai dipukul dan hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam kemerahan di bahagian hadapan dan belakang badan mangsa yang dipercayai akibat dicubit.
“Kira-kira jam 8.30 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan daripada seorang wanita berkaitan satu kes penderaan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 11 bulan oleh bapa tirinya.
“Pihak polis menjalankan siasatan awal dan mendapati kejadian berlaku di dalam kereta yang dinaiki mangsa bersama ibu dan bapa tirinya di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala ke Jelebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Yatim, selain itu, siasatan awal juga mendapati mangsa juga sering dipukul suspek sehingga cedera ketika berada di rumah milik keluarga itu di Jalan Rasah, Seremban.
Tambah beliau, kanak-kanak itu dihantar ke HTJ dan kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut.
Jelas beliau, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di hadapan hospital itu pada jam 10.55 malam tadi.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah selain ujian saringan awal air kencing juga dibuat dan didapati dia negatif.
“Siasatan lanjut juga mendapati suspek dan pengadu baru saja mendirikan rumah tangga sejak April lalu.
“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 Jun depan oleh Mahkamah Majistret Seremban dan kes ini disiasat mengikut seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Justeru, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Seremban di talian 06-603 3222.






