PENGUMUMAN Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali sebagai Ketua Pembangkang oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen RESET di Tanah Merah semalam adalah satu pukul ‘KO’ kepada Bersatu.
Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, kritikan bekas pegawai kanan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Dr Marzuki Mohamad terhadap pengumuman itu juga menunjukkan beliau gagal membaca angin perubahan politik yang sedang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, pengumuman Abdul Hadi itu bukan sekadar pengumuman biasa, sebaliknya membawa mesej politik yang lebih besar terhadap kedudukan parti dalam blok pembangkang.
“Pengumuman Presiden Pas yang meletakkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang ketika Konvensyen RESET bukan sekadar pengumuman biasa, tetapi satu pukulan ‘KO’ kepada Bersatu sendiri.
“Ia memberi mesej jelas bahawa Pas masih menjadi kuasa utama yang menentukan arah politik pembangkang manakala Bersatu pula semakin hilang nilai dan pengaruh,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Semalam, Marzuki yang juga bekas Ketua Setiausaha Kanan Muhyiddin berkata, Abdul Hadi mempunyai ciri-ciri ‘supreme leader’ selepas mengumumkan dua perkara menyentuh PN.
Beliau merujuk pengumuman Abdul Hadi bahawa Pas bersetuju untuk meneruskan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, dan Parti Wawasan Negara akan menggunakan lambang PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Parti Wawasan Negara merupakan parti baharu diumumkan Hamzah, dilancar dalam majlis yang dirasmikan Abdul Hadi dan turut dihadiri Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Presiden MIPP, P Punithan.
Mohd Firdaus berkata, kehadiran pemimpin komponen PN itu juga menunjukkan Bersatu semakin terpinggir.
“Saya tidak pasti sama ada orang kanan Muhyiddin ini gagal membaca angin perubahan politik atau pun masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa partinya semakin tenggelam akibat sikap sebahagian besar pimpinan mereka yang terlalu ‘berkhayal’ dengan permainan politik sendiri tanpa melihat realiti akar umbi,” katanya.






