POLIS Kelantan mengenal pasti lebih 13,000 etnik Rohingya berada di negeri ini dengan sebahagian daripada mereka memiliki kad Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen berkenaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keseluruhan komuniti terbabit kini berada di bawah pemantauan berterusan pihak polis bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang terus dikawal.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 5,373 individu dikenal pasti memiliki kad UNHCR manakala lebih 8,000 lagi tidak mempunyai kad berkenaan.
“Sehingga kini kita kenal pasti 5,373 yang mempunyai kad UNHCR manakala lebih 8,000 tidak mempunyai kad.
“Setakat ini kita tidak menerima aduan daripada penduduk berhubung keresahan kehadiran etnik berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, etnik Rohingya itu dikesan berada di beberapa daerah termasuk Tanah Merah, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Kuala Krai.
Katanya, kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai buruh ladang dan tukang rumah, selain lokasi penempatan mereka turut dipantau secara berkala oleh pihak polis.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 689 kes direkodkan membabitkan etnik berkenaan sepanjang tahun lalu dan lima bulan pertama tahun ini dengan keseluruhan tangkapan seramai 1,548 individu.
Menurutnya, sebanyak 277 kes dengan 723 tangkapan direkodkan tahun lalu, manakala bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini meningkat kepada 412 kes membabitkan 825 tangkapan.
“Kebanyakan tangkapan dilakukan di kawasan sempadan ketika cuba masuk ke negara ini melalui Kelantan.
“Tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk imigresen, penyeludupan migran, jenayah harta benda dan jenayah kekerasan,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati terdapat dalam kalangan mereka yang sudah lama menetap di negara ini dan bertindak sebagai tekong untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Kita sentiasa mempertingkat kawalan terhadap etnik berkenaan dari semasa ke semasa.
“Kita juga memantau premis mereka termasuk kelas mengaji dan madrasah,” katanya.






