POLIS menahan sepasang kekasih warga tempatan berusia 21 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi lelaki yang ditemukan di dalam tandas wanita di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), minggu lalu.
Pasangan yang tidak bekerja itu ditahan di Sepang, Selangor hasil tindakan Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, pihak polis sebelum ini menerima maklumat daripada pihak pengurusan TBS berhubung penemuan seorang bayi baharu lahir yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah beg plastik biru.
Menurutnya, kejadian berkenaan dilaporkan pada 9 Jun lalu dan bayi itu ditemukan di dalam tandas wanita di Aras 3 terminal berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.
“Siasatan mendapati suspek wanita dipercayai melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas sebelum membuangnya ke dalam tong sampah kerana takut dimarahi keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasangan terbabit kini direman selama empat hari bermula 13 Jun hingga esok bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.






