Tiada laporan diterima berkaitan gula-gula didakwa ada bahan terlarang

POLIS menggesa orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dakwaan berhubung gula-gula dipercayai mengandungi bahan terlarang kerana setakat ini tiada sebarang laporan rasmi diterima berhubung perkara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, sehingga kini tiada mangsa tampil membuat laporan atau pengesanan terhadap kandungan terlarang khususnya dadah dalam gula-gula yang didakwa dijual di pasaran.

Beliau berkata, sebarang dakwaan yang tersebar tidak boleh dianggap benar selagi belum dibuktikan serta disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“JSJN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kimia Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memantau serta menyiasat sebarang isu berkaitan demi memastikan keselamatan pengguna.

“Dakwaan yang tersebar di media sosial mengenai perkara itu tidak boleh dianggap benar selagi belum dibuktikan dan disahkan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terdapat sebarang maklumat penting yang perlu diketahui orang ramai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyalurkannya melalui platform media rasmi.

Katanya, pihak polis juga akan terus menjalankan pemantauan serta siasatan terhadap setiap maklumat yang diterima bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atau sumber yang tidak sahih di media sosial,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar gula-gula yang didakwa dijual di sebuah pasar raya dan mengandungi bahan tertentu yang dikatakan boleh menyebabkan kanak-kanak serta orang dewasa hilang fokus selain mengalami masalah ingatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img