LOTUS’S Malaysia mengesahkan sudah mengambil tindakan tata tertib yang sewajarnya selaras dasar dalaman syarikat, susulan insiden wanita hamil yang dituduh mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang baru-baru ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan syarikat itu berkata, tindakan menyusul selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan terhadap insiden terbabit yang turut tular dalam media sosial.
“Kami mendapati bahawa cara insiden ini dikendalikan tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan yang sewajarnya diharapkan pelanggan terhadap Lotus’s, mahupun standard yang kami tetapkan untuk diri kami sendiri.
“Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku.
“Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami. Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui. Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka,” kata kenyataan itu.
Lotus’s berkata, pihaknya kini mengambil langkah memperkukuh garis panduan, prosedur dan latihan bagi memastikan semua kakitangan terus mengamalkan standard perkhidmatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian berulang.
Pada masa sama, syarikat peruncitan itu turut menzahirkan rasa kesal terhadap laporan gangguan peribadi dan ugutan secara dalam talian yang ditujukan kepada pekerja serta ahli keluarga terdekat mereka sepanjang insiden.
“Kami mohon agar semua pihak menghormati privasi, kesejahteraan dan harga diri setiap individu yang terlibat serta membenarkan perkara ini diteruskan dengan penuh persefahaman dan ihsan,” katanya.
Jelasnya, insiden ini mengingatkan pihaknya kepentingan melayan setiap pelanggan dengan empati, rasa hormat dan bermaruah.
“Kami kekal komited untuk mengambil iktibar daripada pengalaman ini, terus menambah baik mutu perkhidmatan kami, serta terus berusaha meraih kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada Lotus’s setiap hari,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, suami kepada seorang wanita hamil mempertikaikan tindakan penyelia pasar raya itu yang menyuruh isterinya berdiri selama 20 minit selepas dituduh mencuri.
Lelaki dikenali sebagai Fareez, 25, memaklumkan isterinya berusia 23 tahun dan sarat hamil dituduh mencuri barang yang kononnya disorok di dalam pakaian.






